HUALIEN: Penduduk di Taiwan kembali menjalankan rutin dan aktiviti harian mereka di celah-celah bangunan yang runtuh dan hampir menyembah bumi selepas bandar itu dilanda gempa bumi terburuk dalam tempoh 25 tahun pada Selasa.

Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda kawasan perairan destinasi pelancongan popular Hualien di timur Tiwan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan lebih 1,000 yang lain.

Pada tahun 1999, gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda tengah Taiwan pada tengah malam dan mengakibatkan lebih 2,400 orang terbunuh.

Saluran berita TV tempatan menyiarkan rakaman mengerikan bangunan runtuh di Hualien dengan laporan orang ramai, termasuk seorang budak lelaki, terperangkap di dalam struktur selama berjam-jam sebelum ditarik keluar.

Tanah runtuh besar-besaran juga tercetus di seluruh pergunungan Hualien dengan klip video tular menunjukkan bencana itu menyebabkan kepulan asap tebal di langit.

Pintu keluar terowong utama di lebuh raya menuju ke Hualien dilaporkan disekat oleh batu besar yang jatuh dari pergunungan sekitarnya.

Kerosakan akibat gempa bumi di wilayah Taipei bagaimanapun terkawal kerana strukturnya dibina untuk menahan gempa bumi dalam skala yang besar.

Ketika kakitangan hotel sibuk membersihkan serpihan, tetamu di lobi dilihat menghirup teh dan berbual dengan gembira.

Stesen Metro di pusat bandar pula sesak selepas waktu pejabat ketika pekerja bergegas untuk memulakan percutian mereka.

Restoran turut ditempah sepenuhnya sejak Khamis dan barisan panjang dilihat di luar kedai karaoke.

Kumpulan media melaporkan, penduduk dilihat tenang meneruskan aktiviti harian mereka selepas berdepan bencana alam mengejutkan itu.